KOTA KINABALU : Pembangunan
infrastruktur dan pengukuhan ekonomi terus menjadi keutamaan dalam usaha memacu
kemajuan Sabah secara menyeluruh.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun
Musa Aman berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini negeri Sabah
memperlihatkan perkembangan yang memberangsangkan dalam sektor ekonomi,
pelaburan dan pembangunan infrastruktur.
"Pelbagai inisiatif telah
dilaksanakan untuk memperkukuh asas ekonomi negeri melalui pemerkasaan sektor
utama seperti pertanian, pelancongan, perindustrian serta ekonomi berasaskan
sumber.
"Usaha menarik pelaburan
domestik dan asing turut dipergiatkan demi mewujudkan lebih banyak peluang
pekerjaan dan merangsang pertumbuhan yang mampan.
"Pembangunan infrastruktur
asas yang meliputi pembinaan dan penaiktarafan jalan raya, sistem bekalan air
bersih serta kemudahan bekalan elektrik yang stabil harus diberikan penekanan.
"Usaha ini amat penting bagi
memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara di samping merancakkan
pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh jaringan perhubungan antara bandar dan luar
bandar.
"Pembangunan prasarana yang
terancang dan berdaya tahan akan menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri
secara menyeluruh bertujuan memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada
arus kemajuan," ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam
perutusan khas semasa Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan
Bintang-bintang serta Pingat-pingat Negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun
Kelahiran Rasmi beliau di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
Tun Musa berkata, aspek
pendidikan dan pembangunan modal insan juga diberikan penekanan bagi melahirkan
generasi muda yang berilmu, berkemahiran tinggi dan berdaya saing, selaras
dengan keperluan pasaran kerja masa kini.
"Pembangunan modal insan
yang berkualiti merupakan asas utama dalam memastikan negeri Sabah mampu
bersaing dan terus maju," tambahnya.
Selain itu, beliau berkata aspek
kesihatan juga diberikan keutamaan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat
melalui peningkatan kemudahan perubatan yang berkualiti dan perkhidmatan
kesihatan secara menyeluruh.
Beliau berkata, tujuannya adalah
untuk memastikan setiap rakyat mendapat rawatan yang cepat, selamat dan
berkesan.
Menurutnya, transformasi digital
dalam perkhidmatan awam juga sedang diperkasa bagi meningkatkan kecekapan,
ketelusan dan akses kepada rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan,
beliau mengingatkan keperluan untuk memperkasa integriti dalam perkhidmatan
awam hendaklah sentiasa menjadi keutamaan dalam usaha membina sebuah
pentadbiran yang dihormati dan diyakini rakyat.
"Integriti bukan sekadar
slogan, tetapi merupakan nilai teras yang mencerminkan kejujuran, ketelusan dan
komitmen dalam melaksanakan amanah.
"Akauntabiliti dan ketelusan
dalam pengurusan kewangan negeri amat penting bagi memastikan setiap peruntukan
yang dibelanjakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
"Setiap keputusan
perbelanjaan hendaklah dibuat secara teliti, berpandukan prinsip tadbir urus
yang baik serta mengambil kira keberkesanan dan impak jangka panjang,"
jelasnya.
Mengakhiri perutusan, beliau
menyeru seluruh rakyat agar terus bersatu dan berganding bahu dalam memastikan
Sabah kekal sebagai negeri yang makmur, stabil dan berdaya saing.
Dalam majlis berkenaan, seramai
90 individu menerima Darjah-darjah Kebesaran, Bintang-bintang serta
Pingat-pingat Negeri Sabah.
Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk
Seri Panglima Hajiji Noor, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri
Panglima Kadzim M Yahya, Menteri-menteri Kabinet Negeri dan Persekutuan.
