KOTA KINABALU: Tangkapan seorang lelaki di One Borneo, di sini, bukan sahaja kerana gagal mengemukakan dokumen diri, malah membongkar latar belakang keluarganya yang dipercayai turut tidak memiliki dokumen sah.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, 15 Mac lalu itu, lelaki berusia 19 tahun berkenaan ditahan ketika sepasukan anggota Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menjalankan Ops Cegah Jenayah/Lejang dan Ops Poket di kawasan terbabit.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, suspek ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah.
“Lelaki itu juga enggan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis semasa pemeriksaan dijalankan.
"Hasil siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta berasal daripada keluarga yang juga tidak memiliki dokumen sah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, suspek turut dikenal pasti sebagai pelajar di sebuah sekolah alternatif di kawasan Teluk Layan yang menempatkan pelajar tanpa dokumen diri.
“Beberapa individu berkaitan turut dipanggil dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada 16 Mac lalu dan arahan lanjut diberikan termasuk pemeriksaan gigi oleh pegawai perubatan bagi menentukan umur sebenar serta mendapatkan laporan daripada Jabatan Imigresen,” katanya.
Beliau berkata, suspek kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis pada 17 Mac lalu dengan dua penjamin tempatan sementara siasatan dilengkapkan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta sentiasa mematuhi undang-undang dengan memastikan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
