KOTA KINABALU : Polis Sabah menumpaskan rangkaian pengedaran dadah dengan rampasan lebih 53 kilogram (kg) syabu bernilai hampir RM2.65 juta menerusi tiga operasi berasingan minggu lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata kejayaan itu hasil operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTABKK) serta dua serbuan berasingan di Tawau.
Beliau berkata dalam operasi pertama pada 11 Mac kira-kira 11.15 malam di LTABKK itu, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan selepas pihak berkuasa mengesan tiga kotak mencurigakan melalui mesin pengimbas di laluan ketibaan antarabangsa.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki berperanan sebagai ‘transporter’ yang membawa masuk dadah ke negeri ini.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 30.30 kg syabu yang disorok secara sistematik dalam kotak kayu simpanan botol wain bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Pejabat JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan hari ini.
Dalam pada itu, Jauteh berkata operasi berasingan di Tawau pada 13 Mac kira-kira 7.30 malam, seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan di sebuah stor penyimpanan kenderaan di Jalan Sin Onn selepas cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Menurutnya, selepas pemeriksaan dijalankan polis menemukan tiga bungkusan plastik mengandungi syabu seberat 3,071.04 gram dianggarkan bernilai RM214,973.
Beliau menambah, susulan tangkapan itu satu lagi serbuan dilakukan sejam kemudian di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Jawa, Jalan Mawar yang membawa kepada penahanan tiga individu termasuk seorang wanita dan lelaki warga emas berusia 73 tahun.
“Pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan 20 paket syabu seberat 20,471.12 gram dengan nilai anggaran RM1.43 juta yang disembunyikan di dalam sebuah bilik berkunci.
“Turut dirampas beberapa kenderaan termasuk motosikal, lori tiga tan dan sebuah Toyota Alphard dipercayai digunakan dalam kegiatan ini,” katanya.
Beliau berkata semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jauteh berkata polis akan terus mempergiat operasi dan risikan bagi mengekang kegiatan pengedaran dadah di negeri ini serta mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas.
.png)