DBKK perkukuh kerjasama media sebagai rakan strategik

Sabin Samitah ketika ditemui pemberita di Hotel Hilton, pada Selasa. 

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus memperkukuh kerjasama dengan pihak media sebagai rakan strategik dalam memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat berjalan dengan lebih berkesan.

Perkara itu dizahirkan menerusi penganjuran majlis berbuka puasa bersama media yang diadakan di Hotel Hilton, di sini.

Datuk Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Sabin Samitah berkata, media memainkan peranan penting dalam membantu menyalurkan maklumat rasmi kepada orang awam termasuk penduduk tempatan dan pelawat yang berada di bandar raya ini.

“Tujuan majlis ini adalah untuk merapatkan hubungan antara DBKK dan media yang banyak membantu kami menyalurkan maklumat kepada orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa DBKK bersama Media Sabah, pada Selasa.

Menurutnya, peranan media juga amat signifikan dalam melaporkan aduan dan rungutan masyarakat, termasuk isu kerosakan infrastruktur serta peningkatan masalah sampah terutama ketika musim perayaan.

“Media turut membantu melaporkan aduan rakyat seperti kerosakan di kawasan tertentu dan isu sampah yang semakin meningkat, yang kadangkala tidak sempat dipantau oleh pihak kami,” jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak media atas kerjasama berterusan dalam memastikan perkhidmatan DBKK dapat dipertingkatkan demi kesejahteraan penduduk bandar raya ini.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama