KOTA BELUD: Usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi Sabah akan terus diperkasa apabila Pelan Induk Taman Perindustrian Kota Belud dijangka dibentangkan kepada Kabinet Negeri dalam masa terdekat ini.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, berkata pembentangan kertas kabinet itu merupakan langkah penting bagi merealisasikan pembangunan taman perindustrian baharu di Kota Belud dan Kudat seperti diumumkan kerajaan negeri sebelum ini.
Menurut beliau, projek berkenaan akan dilaksanakan oleh Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.
“Dengan sokongan Ketua Menteri dan jemaah kabinet negeri, kita yakin pelaksanaan projek ini dapat dimulakan termasuk usaha pemasaran bagi menarik pelabur ke Sabah,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya di Kampung Tegudon, di sini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, pembangunan taman perindustrian itu bakal membuka ruang ekonomi lebih luas kepada masyarakat setempat.
Hal ini termasuklah peluang pekerjaan disediakan kepada graduan serta penglibatan usahawan dalam rantaian perkhidmatan industri.
Beliau berkata kerajaan negeri juga akan mengadakan libat urus dengan syarikat-syarikat besar dari dalam dan luar negara bagi menarik pelaburan ke kawasan tersebut.
“Ini satu kebanggaan bagi Kota Belud kerana kita akan menyediakan peluang ekonomi baharu, bukan sahaja kepada pelabur tetapi juga kepada rakyat tempatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan akan mengetuai misi perdagangan ke luar negara bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, khususnya ke China bagi bertemu pelabur berpotensi.
Katanya, inisiatif itu dilaksanakan secara bersama antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memperkasa ekonomi Sabah serta memperluas peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Secara keseluruhan, kira-kira 13,000 ekar tanah telah dikenal pasti bagi pembangunan taman perindustrian tersebut yang akan dilaksanakan secara berfasa, tertakluk kepada kelulusan Kabinet Negeri.
“Lokasi cadangan terletak di kawasan DUN Pintasan berhampiran sempadan Kota Marudu dan Kota Belud serta kawasan pesisir pantai, yang berpotensi menjadi pemangkin aktiviti ekonomi baharu di daerah ini,” tambahnya.
Beliau turut berharap projek berkenaan mendapat sokongan masyarakat setempat memandangkan ia mampu menjadi pemacu ekonomi baharu selain Pekan Kota Belud.
