Anggota tentera hilang di Semporna ditemui di Sarawak



KUANTAN: Seorang anggota tentera yang dilaporkan hilang ketika bertugas dalam Operasi PASIR di Semporna, Sabah, ditemukan di negeri asalnya di Sarawak, pada 19 Mac lalu.

Markas Angkatan Bersama (MK AB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, anggota berkenaan, Renjer Fredenick anak Petrus, 21, dari Kompeni C, Batalion Ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), sebelum itu dilaporkan tidak ditemui ketika pemeriksaan baris pagi di Pos Pulau Pandanan pada 14 Mac lalu.

Menurut kenyataan itu, siasatan awal mendapati anggota terbabit dipercayai Tidak Hadir Tanpa Cuti (THTC) sebelum usaha pengesanan dilaksanakan pasukan keselamatan.

“Hasil tindakan pengesanan, anggota berkenaan berjaya ditangkap oleh pasukan 3 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) di Kota Samarahan, Sarawak pada 19 Mac lalu.

“Anggota itu kemudian dibawa ke hadapan Majistret Kota Samarahan sebelum kini ditahan di Kem Muara Tuang bagi membantu siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

MK AB berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar ketidakhadiran anggota berkenaan, selain tindakan sewajarnya akan diambil selaras dengan peruntukan di bawah Akta Angkatan Tentera 1972.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan, selain menegaskan komitmen pihaknya untuk mengendalikan kes berkenaan secara profesional, telus dan berintegriti.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama