Datuk ditemui lemas, cucu masih hilang di Sungai Banjar Keningau

KENINGAU: Seorang warga emas ditemui meninggal dunia, manakala cucunya masih hilang dalam kejadian di Sungai Banjar, berhampiran Taman Bersatu, di sini, petang tadi. 

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Desmon Al Mickey berkata, mangsa lelaki berusia 60 tahun ditemui orang awam kira-kira jam 5.21 petang, kira-kira tujuh kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua yang bermula seawal jam 6.10 pagi itu dijalankan dengan kaedah pencarian permukaan di sepanjang Sungai Banjar dan Sungai Mempikit.

“Mayat mangsa pertama ditemui oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang juga cucu kepada mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi SAR membabitkan sembilan anggota BBP Keningau dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang awam.

Beliau berkata, operasi ditangguhkan pada jam 6.37 petang berikutan faktor keselamatan dan akan disambung semula esok.

“SAR akan diteruskan dengan menumpukan pencarian di kawasan sepanjang sungai yang dikenal pasti,” katanya.

Dalam kejadian petang semalam, kedua-dua mangsa dipercayai ke sungai untuk mencuba bot baharu sebelum dilaporkan hilang.

Usaha pencarian awal oleh ahli keluarga hanya menemukan beg serta barangan peribadi mangsa di lokasi terakhir mereka dilihat.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama