![]() |
| Lapan lelaki ditahan tengah malam tadi susulan pergaduhan di Bazar Ramadan Sabindo, Tawau petang semalam. Foto | PDRM. |
TAWAU: Tindakan pantas polis
menahan lapan lelaki termasuk seorang warga asing berjaya menyelesaikan kes
pergaduhan yang tular di Bazar Ramadan Sabindo di sini, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten
Komisioner Jasmin Hussin, berkata tiga lagi individu ditahan malam tadi
menjadikan keseluruhan tangkapan setakat ini lapan orang.
Beliau berkata, semua suspek
membabitkan tujuh lelaki tempatan dan seorang warga asing berusia antara 17
hingga 34 tahun ditahan di beberapa lokasi sekitar daerah ini.
“Tangkapan dibuat susulan laporan
polis pada jam 8.37 malam oleh seorang pegawai polis yang mengesan rakaman
video pergaduhan yang tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan media
tengah malam tadi.
ACP Jasmin berkata, polis turut
merampas satu utas rantai motosikal yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan
berkenaan.
Menurut beliau, siasatan awal
mendapati pergaduhan berpunca daripada rasa tidak puas hati antara dua kumpulan
yang terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148
Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau
denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Semua suspek kini ditahan di
lokap IPD Tawau dan polis akan memohon perintah reman selama empat hari di
mahkamah esok bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Polis juga masih menjalankan
siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengesan individu
lain yang mungkin terbabit dalam pergaduhan itu.
%20(1).png)