Bekas penolong akauntan ditahan, disyaki kemuka dokumen palsu projek RM90,000

KOTA KINABALU: Seorang bekas penolong akauntan sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan kerja naik taraf dan penyelenggaraan bernilai kira-kira RM90,000.

Suspek wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 1 tengah hari dalam satu operasi dijalankan SPRM di sekitar bandar raya ini.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan sekitar tahun lalu dengan mengemukakan beberapa dokumen yang mengandungi maklumat palsu.

“Dokumen terbabit termasuk pesanan kerajaan, invois serta sebut harga syarikat berkaitan pembekalan dan kerja naik taraf serta penyelenggaraan di jabatan tempatnya bekerja.

“Suspek juga disyaki membuat lantikan terus kepada sebuah syarikat milik ahli keluarganya bagi mendapatkan suapan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama