Suspek kes rogol diberkas kurang 24 jam

Suspek PATI warga Filipina ditahan tengah malam tadi kerana disyaki terlibat dengan kes rogol remaja perempuan berusia 15 tahun, di Kampung Merotai Besar, awal Februari lalu. Foto | Ihsan PDRM.

TAWAU : Tindakan pantas polis berjaya menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan dalam tempoh kurang 24 jam selepas laporan diterima.

Suspek lelaki berusia 20 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.54 tengah malam oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai di hadapan sebuah rumah di Kampung Simpang Tiga, Merotai Besar, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat susulan laporan yang diterima pada jam 12.08 tengah malam hari sama.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2 pagi pada 11 Februari lalu di sebuah kediaman di kampung berkenaan.

“Mangsa seorang remaja perempuan berusia 15 tahun mendakwa suspek yang juga teman lelaki kepada sepupunya telah masuk ke dalam bilik tanpa disedari sebelum bertindak meraba dan memaksanya melakukan hubungan seksual.

“Suspek turut mengugut mangsa dengan ancaman terhadap ahli keluarganya sehingga menyebabkan mangsa ketakutan dan terpaksa menurut kehendaknya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jasmin berkata, suspek yang juga warga asing didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama