71 gerai juadah tradisi, 15 hotel bakal meriahkan Sambutan Aidilfitri Sabah Sabtu ini

KOTA KINABALU: Sebanyak 71 gerai dan 15 hotel bakal menjadi tarikan utama Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Negeri Sabah yang dijadual berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), Sabtu ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Arifin Mohd Arif, berkata sambutan itu dijangka menarik kira-kira 20,000 pengunjung bagi memeriahkan aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri. 

“Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini akan kita adakan pada 28 hari bulan Mac iaitu hari Sabtu, bermula pada 10 pagi hingga dua petang dengan tema ‘Aidilfitri Wadah Perpaduan’. 

“Kita menyediakan 71 gerai melibatkan usahawan tempatan serta 15 hotel yang turut menyajikan hidangan Aidilfitri kepada pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, pada Khamis.

Menurutnya, penganjuran itu turut memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk terlibat secara langsung selain memperkenalkan kepelbagaian juadah kepada orang ramai.

“Kita memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk terlibat secara langsung, di samping hotel dan agensi yang turut menyediakan sajian kepada pengunjung,” jelasnya.

Majlis berkenaan dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Selain sajian makanan, Arifin berkata program itu turut diisi dengan penyampaian sumbangan kepada sembilan rumah kebajikan melibatkan anak yatim, orang kurang upaya serta golongan memerlukan.

“Kita juga mengundang lebih 1,000 anak tahfiz dan anak yatim untuk bersama-sama meraikan Aidilfitri dalam suasana penuh bermakna,” ujar beliau. 

Tambah beliau, sambutan itu akan dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan seperti Masha Milan dan Fauziah Gambus, selain persembahan kaligrafi oleh artis jemputan dari China.

Menurutnya, penganjuran tahun ini turut mengambil pendekatan berhemah dari segi perbelanjaan tanpa menjejaskan kemeriahan sambutan.

“Orang ramai dijemput hadir bagi bersama-sama menyemarakkan sambutan Aidilfitri peringkat negeri yang menjadi platform mengukuhkan perpaduan rakyat Sabah,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama