SANDAKAN: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) membantah tindakan seorang penjual rokok seludup yang dipercayai menyerang anggota penguat kuasa dalam kejadian di sekitar Pasar Batu Lapan, Sibuga Jaya, di sini.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata perbuatan tersebut amat serius kerana ia jelas mencabar kewibawaan undang-undang negara serta keselamatan anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.
“Tindakan menyerang pegawai penguat kuasa merupakan kesalahan besar dan tidak boleh dipandang ringan.
“Video kejadian itu amat memalukan dan mencalar kewibawaan penguatkuasaan undang-undang di negara ini.
“Keberanian pihak terbabit bertindak agresif terhadap penguat kuasa memberi gambaran seolah-olah undang-undang tidak lagi digeruni,” katanya dalam satu kenyataan G57, hari ini.
Zulkarnain berkata individu terbabit bukan sahaja dipercayai menjual rokok haram, malah bertindak ganas terhadap pihak berkuasa.
“Ini menunjukkan kegiatan rokok seludup di Sabah semakin berani dan berleluasa,” jelasnya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan apabila penjualan rokok seludup kini dilihat berlaku secara terbuka di banyak kawasan di negeri ini seolah-olah ia menjadi perkara biasa.
“Keadaan ini bukan sahaja merugikan hasil negara, malah mencabar kewibawaan penguatkuasaan undang-undang,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan tegas dan segera terhadap suspek yang terlibat.
“Operasi penguatkuasaan secara besar-besaran dan berterusan juga perlu dilaksanakan bagi membanteras sepenuhnya kegiatan rokok seludup di Sabah,” tambahnya.
Baru-baru ini, tular video kejadian yang tular di media sosial yang memaparkan seorang individu dipercayai penjual rokok seludup bertindak agresif terhadap anggota penguat kuasa.
