KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menggesa kerajaan Persekutuan supaya tidak menangguhkan pelaksanaan pembayaran tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah, sebaliknya memulakan pembayaran berdasarkan kapasiti kewangan sedia ada.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, langkah memulakan pembayaran sebahagian dana lebih wajar sementara mekanisme penuh pelaksanaannya dimuktamadkan melalui rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Menurutnya, pihaknya memahami kerajaan pusat mungkin memerlukan masa untuk menyusun mekanisme serta kaedah pelaksanaan tuntutan itu agar dapat dilaksanakan secara teratur dan efisien.
“Namun, menangguhkan pelaksanaannya bukanlah keputusan yang paling wajar ketika ini.
“Langkah lebih meyakinkan ialah memulakan pembayaran sebahagian dana berkaitan berdasarkan kapasiti kewangan sedia ada, sementara perincian jumlah sebenar serta formula pengiraan dimuktamadkan dalam tempoh rundingan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas permohonan kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan pembayaran berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Azrul berkata, keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober 2025 menegaskan Sabah mempunyai hak perlembagaan terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, pelaksanaan keputusan itu wajar dizahirkan melalui komitmen serta itikad baik semua pihak.
“Sebarang penangguhan hanya akan menambahkan keresahan serta meningkatkan sentimen rakyat Sabah yang sudah lama menantikan penyelesaian adil terhadap hak negeri ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan isu berkenaan tidak seharusnya dipolitikkan sehingga menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri tidak serius dalam menuntut hak Sabah.
Menurutnya, di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, kerajaan negeri menunjukkan komitmen konsisten dalam memperjuangkan hak negeri termasuk melalui rundingan berkaitan Malaysia Agreement 1963 (MA63).
“Pendekatan tegas dan berhemah melalui rundingan, saluran perundangan serta kerjasama antara kerajaan terus dilaksanakan bagi memastikan hak Sabah dapat dipulihkan secara berperingkat dan berkesan,” katanya.
