![]() |
| Armizan (tiga dari kiri) ketika meninjau pencawang elektrik di Kampung Takis, di sini, hari ini. |
PAPAR: Penduduk Kampung Takis bakal menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil apabila pencawang elektrik baharu di kampung itu dijangka beroperasi sepenuhnya selewat-lewatnya pada awal April ini.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pembinaan pencawang tersebut dilaksanakan susulan aduan penduduk mengenai masalah kesusutan voltan di bawah paras nominal 216 volt yang berlarutan sekian lama di kawasan sekitar Kampung Takis.
“Projek pembinaan pencawang itu telah siap pada 26 Februari lalu dan kini berada dalam fasa pemindahan beban daripada pencawang asal ke pencawang baharu sebelum ia beroperasi sepenuhnya.
“Keadaan itu memberi kesan kepada kelancaran penggunaan elektrik harian, malah dalam beberapa keadaan menyebabkan kerosakan peralatan elektrik serta risiko berlakunya litar pintas.
“Ia juga menjejaskan aktiviti perniagaan dan urusan harian penduduk,” katanya dalam satu kenyataan.
Armizan meninjau projek berkenaan sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid As Sobirin Kampung Takis, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, apabila pencawang baharu itu beroperasi sepenuhnya kelak, masalah bekalan elektrik yang dihadapi penduduk dijangka dapat diatasi dengan baik.
“Saya berharap penduduk dapat menyambut Aidilfitri tahun ini dengan bekalan elektrik yang lebih stabil,” jelasnya.
Dalam pada itu, susulan aduan sama di beberapa kampung dalam Parlimen Papar, pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) turut melaksanakan beberapa projek pembinaan pencawang elektrik baharu di kawasan yang mengalami gangguan bekalan ketara.
Katanya, beliau turut turun padang bersama kakitangan SE bagi meninjau pelaksanaan projek berkenaan serta memastikan pembinaannya disegerakan dan disiapkan mengikut jadual.
“Saya merakamkan penghargaan kepada pihak SE atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan keperluan asas rakyat seperti bekalan elektrik sentiasa diberi perhatian,” tambah beliau.
Pada tahun lalu, empat projek pencawang elektrik baharu di kawasan Papar telah siap dan mula beroperasi, iaitu di Kampung Beringgis, Kampung Sekayan, Kampung Kawakahan dan Kampung Sagang.
