KOTA KINABALU: Semangat Hari Raya
Aidilfitri terus menjadi penggerak utama mengeratkan perpaduan rakyat Sabah
yang berbilang kaum dan agama seterusnya menjadi asas keamanan serta
keharmonian negeri ini.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun
Musa Aman berkata keamanan adalah elemen terpenting dalam membentuk dinamika
rakyat dan negara, yang harus disyukuri dengan terus mentaati perintah Allah
SWT dan Rasul-Nya serta komited memelihara kesatuan masyarakat.
“Tanpa kesatuan, masyarakat akan
mudah berpecah belah dan keadaan seperti ini akan merugikan. Kesatuan bukan
sekadar bersatu dalam ikatan tetapi juga dalam pemikiran, tujuan dan tindakan.
"Hakikatnya, kesatuan adalah
kunci kepada keharmonian sosial. Perbezaan budaya, agama dan tradisi perlu
dihormati dan dijadikan kekuatan untuk memupuk rasa saling menghargai serta
menyingkirkan perasaan syak wasangka,” ujar beliau ketika menyampaikan
Perutusan Khas Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026M.
Menurut beliau, pendidikan yang
baik, dasar-dasar yang inklusif serta usaha mengurangkan jurang antara golongan
kaya dan miskin adalah langkah penting dalam memupuk keadilan dan kesejahteraan
sosial rakyat.
“Sama-samalah kita berusaha
mencari redha Allah SWT dengan menggembleng tenaga dan segala sumber yang ada
untuk memperbaiki keadaan hidup, baik dari segi akidah, ekonomi, pendidikan
mahupun sosial,” ujarnya.
Tun Musa turut menyeru masyarakat
agar menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan mengikut kemampuan
masing-masing.
“Ini merupakan kaedah berkongsi
rezeki seterusnya membina hubungan baik, mengerat tali silaturahim dan mengukuh
perpaduan khususnya pada musim perayaan Aidilfitri,” tambahnya.
Beliau menekankan Hari Raya
Aidilfitri adalah masa untuk bergembira dan mengamalkan tradisi mulia
masyarakat dengan menziarahi antara satu sama lain serta bermaaf-maafan.
“Saya berdoa agar sambutan
Aidilfitri tahun ini lebih meriah dan bermakna mengukuhkan ukhuwah dan
perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Sabah khasnya dan Malaysia
amnya,” ujarnya.
Tun Musa juga mengingatkan
masyarakat agar tidak mengabaikan aspek kesihatan dan keselamatan diri serta
keluarga semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Berpada-pada dalam soal makan
dan minum serta berhati-hati di jalan raya kerana musim perayaan sering
mencatatkan kadar kemalangan tinggi yang boleh menyebabkan kecederaan parah
serta kehilangan nyawa,” katanya.
Di samping itu, beliau
menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan anggota pasukan
keselamatan yang berkorban jiwa raga demi memelihara keselamatan rakyat dan
mempertahankan kedaulatan negara.
“Kenang dan hargai khidmat bakti mereka dengan berdoa agar sentiasa mendapat rahmat serta taufik Allah SWT dalam memikul amanah yang berat dan mencabar. Mudah-mudahan segala khidmat bakti ini beroleh ganjaran yang besar di sisi Allah SWT,” ujarnya lagi.
Tun Musa menambah, rakyat telah
menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan dengan penuh keikhlasan serta
ketakwaan dan kini berpeluang menyambut bulan Syawal yang penuh makna.
“Aidilfitri diimarahkan dengan
lafaz takbir, tahlil dan tahmid sebagai lambang rasa syukur serta pujian kepada
Allah SWT atas segala nikmat dan kemenangan menempuh ujian Ramadan. Semoga
ibadah kita diterima dan darjat takwa dicapai dengan sebenar-benarnya,” katanya
lagi.
Mengakhiri perutusannya, Tun Musa
dan seluruh ahli keluarga merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf
zahir dan batin kepada seluruh rakyat, khususnya umat Islam yang menyambutnya.
