KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, mengajak rakyat Sabah menjadikan sambutan Aidilfitri sebagai pemangkin untuk memperbaharui tekad, memperkukuh perpaduan dan bersama-sama membina negeri yang lebih maju serta sejahtera.
Beliau berkata, kestabilan politik yang dinikmati ketika ini perlu terus dipelihara kerana ia menjadi asas penting kepada pembangunan dan kemakmuran Sabah.
“Kestabilan politik adalah prasyarat utama kepada pembangunan dan kemakmuran negeri,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 2026.
Menurutnya, kerajaan negeri telah merangka hala tuju lebih strategik dan menyeluruh menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi memacu kemajuan negeri ke tahap lebih tinggi.
“SMJ 2.0 bukan sekadar pelan di atas kertas, sebaliknya komitmen jitu untuk mentransformasikan ekonomi negeri, memperkasa modal insan serta memastikan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata Aidilfitri membawa makna besar sebagai simbol kemenangan selepas melalui Ramadan, selain menjadi platform terbaik untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Katanya, keunikan Sabah yang dihuni masyarakat pelbagai kaum dan agama yang hidup dalam suasana harmoni menjadi kekuatan utama negeri ini.
“Nilai hormat-menghormati, toleransi dan kebersamaan yang diwarisi sekian lama perlu terus dipelihara sebagai asas kepada kestabilan dan kemajuan negeri,” katanya.
