Sedafiat Sumbang Zakat Perniagaan RM445,600 kepada MUIS

 

KOTA KINABALU: Sedafiat Sdn Bhd menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM 445,600 bagi tahun kewangan 2025 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat Sdn Bhd, Datuk Ag Buhtamam Ag Mahmun berkata Sedafiat berjaya menunaikan pembayaran zakat perniagaan sejak sembilan tahun lalu sehingga kini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab syarikat.

"Alhamdulillah, Sedafiat masih mengekalkan prestasi cemerlang sebagai penyedia perkhidmatan sokongan hospital bertaraf lima bintang daripada Kementerian Kesihatan Malaysia selama lapan tahun berturut-turut sejak 2018 hingga 2025," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Berbuka Puasa Sedafiat Sdn Bhd, pada Isnin.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.

Dalam majlis itu, Sedafiat turut menyampaikan  sumbangan RM10,000 kepada Kompleks Latihan dan Pemulihan Orang Kurang Upaya Kimanis Papar dan Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Karim Kg. Benoni manakala Rumah Anak Yatim Al-Aman Beaufort menerima sebuah van serbaguna daripada Sedafiat.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET), Datuk Ewon Benedick; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama