KOTA KINABALU: Kumpulan Qhazanah
Sabah (QSB) terus memperkukuh komitmennya terhadap tanggungjawab sosial
korporat apabila menyalurkan zakat perniagaan berjumlah RM135,000 kepada Pusat
Zakat Sabah selain meraikan 60 anak yatim sempena ramadan.
Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad,
Senator Tan Sri Anifah Aman berkata, selain zakat perniagaan daripada kumpulan
itu, syarikat bersekutu mereka iaitu Celcom Timur Sabah Sdn. Bhd. turut
menyumbang sebanyak RM1.1 juta kepada Pusat Zakat Sabah bagi membantu golongan
asnaf yang memerlukan.
Beliau berkata demikian ketika
berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim dan Penyerahan Zakat
Perniagaan Kumpulan Qhazanah Sabah yang diadakan pada Isnin.
Menurutnya, inisiatif berkenaan
mencerminkan komitmen berterusan kumpulan itu dalam menyumbang kepada
kesejahteraan masyarakat, selari dengan semangat Ramadan yang menggalakkan umat
Islam berkongsi rezeki dan membantu golongan memerlukan.
"Dalam usaha mengejar
kemajuan ekonomi dan pembangunan negeri, kita tidak boleh melupakan
tanggungjawab kepada masyarakat.
"Bulan Ramadan mengingatkan
kita tentang nilai keinsanan, keprihatinan dan kepentingan berkongsi rezeki
dengan mereka yang memerlukan," katanya.
Pada majlis itu, seramai 60 anak
yatim daripada HOME Tuaran serta Persatuan Rumah Anak Yatim dan Madrasah Tahfiz
Darul Yatama Yacob Khan, Beaufort diraikan sebagai tetamu istimewa.
Menurut Anifah, kehadiran
anak-anak tersebut bukan sahaja menyerikan majlis berkenaan malah menjadi
peringatan tentang pentingnya kasih sayang serta sokongan masyarakat dalam
membina masa depan yang lebih baik.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri dan pengurusan kanan Kumpulan Qhazanah Sabah yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Mohamad Damshal Awang Damit serta Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Datuk Malai Ali Malai Ahmad.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
