IRAMA Santuni 100 Asnaf Sekitar Sepanggar

 

KOTA KINABALU: Program Iftar Ramadan MADANI (IRAMA) anjuran Pertubuhan Pembangunan Islam Sabah (IDEAS), Yayasan Taqwa dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menyantuni 100 asnaf sekitar Sepanggar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata program itu bertujuan membantu golongan memerlukan di samping mengukuhkan ukhuwah selaras gagasan Malaysia MADANI.

"Nilai ihsan dalam teras MADANI menuntut semua pihak berbuat baik melebihi kebiasaan termasuk turun padang menyelami kesusahan rakyat khususnya golongan asnaf.

“Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri komited memperhebat usaha menoktahkan kemiskinan tegar dengan menyalurkan bantuan bukan sahaja sebagai penyelesaian jangka pendek tetapi membina ekosistem ekonomi mampan supaya golongan rentan mampu berdikari.

“Kerajaan dan pimpinan negeri juga komited memastikan kebajikan masyarakat terus terpelihara,” katanya ketika merasmikan program itu di Masjid Al-A'la, Kampung Lokub, Sepanggar, pada Isnin.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan bakul makanan kepada penerima.

Mustapha berkata, Ramadan bukan sekadar bulan melipatgandakan amal tetapi turut mendidik jiwa mengenai integriti yang perlu diterapkan dalam tadbir urus kerajaan bagi membendung rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa.

Turut hadir, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Sabah, Dr Baharudin Othman; Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Azman Sipan; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan JHEAINS, Mohd Ridhuwan Othman; Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah, Mohd Firdaus Saidin; serta Pengerusi Masjid Al-A'la, Sanin Lias.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama