KOTA KINABALU : Sebanyak 700 pek berbuka puasa diagihkan kepada petugas barisan hadapan di tiga lokasi utama menerusi Program Santuni Wira MADANI.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata sumbangan itu diagihkan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (Sepanggar), Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) serta Balai Polis Inanam."Ini usaha Kerajaan MADANI untuk menghargai sumbangan besar wira negara yang mempertahankan kedaulatan dan menjaga kebajikan rakyat, khususnya dari aspek kesihatan.
"Bagi pihak Jabatan Perdana Menteri, kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada barisan hadapan yang bertungkus-lumus memberi khidmat kepada rakyat Malaysia, khususnya di Sabah," katanya ketika ditemui media di Balai Polis Inanam, pada Sabtu.
Menurutnya, antara tujuan utama program itu adalah mengeratkan silaturahim serta memperkukuh kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dengan agensi barisan hadapan di negeri ini.
Mengulas saranan Perdana Menteri mengenai langkah berjimat cermat, Mustapha menyeru rakyat Sabah agar berhati-hati dan berhemah dalam perbelanjaan serta bersedia menghadapi segala kemungkinan.
"Sambutan Hari Raya Aidilfitri sebaiknya dilakukan dalam skala kecil agar tidak membebankan kewangan.
"Sehingga langkah-langkah daripada pihak terlibat di negara-negara yang berperang diambil, kita tidak dapat menjangka tempoh berlarutan konflik ini,'' ujarnya.
Beliau juga memaklumkan kerajaan mengadakan beberapa perbincangan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa dijaga.
"Kerajaan MADANI dan Perdana Menteri amat prihatin terhadap kesejahteraan rakyat. Kita berusaha memastikan rakyat tidak terkesan menghadapi situasi peperangan yang tidak menentu,'' ujarnya.
