Dua remaja lemas mandi-manda di sungai

PAPAR: Dua remaja ditemukan maut selepas dipercayai lemas ketika mandi-manda di Sungai Pokdi Campsite, Mandalipau, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 pagi itu, mangsa masing-masing seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan lelaki berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui talian balai sebelum sepasukan lapan anggota dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, jentera bomba tiba di tempat kejadian pada jam 10.50 pagi selepas menempuh jarak kira-kira 31 kilometer.

“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa sudah ditemui oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rozlan berkata, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 1 petang.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama