Sabah Mahu Kurangkan Kebergantungan Sumber Tenaga Konvensional

TUARAN: Kerajaan Negeri berhasrat mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional dengan beralih kepada sistem tenaga yang lestari dan mesra alam selaras Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, langkah itu menjadi kompas strategik merancang masa depan tenaga Sabah secara lebih holistik dan mapan.


“Usaha memperluaskan penggunaan tenaga boleh baharu seperti solar dan hidro bukan sahaja dapat mengimbangi campuran tenaga negeri malah membina daya tahan lebih kukuh dalam menghadapi cabaran global serta krisis iklim.


“Ini merupakan pelaburan bagi memastikan Sabah kekal hijau dan makmur untuk dekad-dekad akan datang,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan projek solar skala besar 15 megawatt (MW) Tuaran dan Majlis Iftar Ramadan Sabah Energy Corporation (SEC) di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah, Kg Lok Batik, pada Khamis.


Menurut Hajiji, pelancaran projek berkenaan membuktikan sinergi antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terutamanya SEC dengan visi dasar kerajaan negeri dalam memperkasa sektor tenaga boleh baharu  selain membuka ruang kepada anak tempatan menimba pengalaman industri serta menguasai pemindahan kemahiran dalam teknologi tenaga hijau.


"Sepanjang pembinaan projek itu, kira-kira 150 tenaga kerja akan terlibat secara langsung termasuk pekerja tempatan.


"Apabila projek beroperasi sepenuhnya, ia dijangka mewujudkan kira-kira 50 peluang pekerjaan baharu dalam bidang operasi, penyelenggaraan, teknikal dan sokongan pentadbiran,” ujarnya.


Hajiji berkata, inisiatif itu bukan sahaja berpotensi meningkatkan pendapatan isi rumah malah memperkukuh ekosistem tenaga hijau di Sabah.


Tambahnya, usaha berkenaan selari dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 iaitu pembangunan yang bukan sekadar pertumbuhan angka ekonomi, tetapi turut menjana peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran rakyat serta memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.


Turut berlangsung, penyampaian sumbangan dan penyerahan bubur lambuk kepada Masjid at-Taubah, Kg. Lok Batik, Masjid Assajidin, Kg. Tambalang, Masjid at-Taqwa dan Masjid Nur Sa'adah Kg. Laya-Laya, HOME Tuaran, Maahad Tahfiz at-Taqwa serta Madrasah Tarbiayun Nisa.


Hadir sama, Pengerusi SEC, Datuk Annuar Ayub dan Adun Pantai Dalit merangkap Pengerusi Eksekutif Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama