Sabah bantah permohonan tangguh hak 40%, tegaskan keputusan mahkamah perlu dihormati

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan membantah permohonan yang difailkan oleh pihak kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi berkaitan semakan dan penentuan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan daripada negeri itu bagi tempoh 1974 hingga 2021.

Perkara itu disahkan oleh Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh yang memaklumkan bahawa kerajaan negeri kekal komited untuk melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025 berhubung tuntutan tersebut yang dikenali sebagai 'Tahun-Tahun Yang Hilang'.

Menurutnya, perintah mahkamah berkenaan mengarahkan kerajaan Persekutuan mengadakan semakan bersama Kerajaan Negeri Sabah bagi melaksanakan pemberian khas 40 peratus selaras dengan kerangka Perlembagaan.

“Mahkamah menetapkan kedua-dua pihak perlu mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari, iaitu selewat-lewatnya pada 15 April 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Brenndon berkata, sejak keputusan itu dibuat, Kerajaan Negeri Sabah telah menunjukkan komitmen penuh dengan terlibat secara aktif dalam sesi libat urus bersama pihak berkuasa Persekutuan.

Katanya, beberapa mesyuarat dan perbincangan teknikal telah diadakan bagi pertukaran maklumat, pengesahan data serta meneliti kaedah yang sesuai untuk menentukan jumlah sebenar pemberian khas 40 peratus kepada negeri itu.

“Semua sesi perbincangan dilaksanakan secara konstruktif, telus dan dengan niat baik bagi mencapai penyelesaian yang adil, berprinsip serta boleh diterima bersama dalam tempoh masa ditetapkan mahkamah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah melengah-lengahkan proses tersebut, sebaliknya telah mengambil langkah aktif dan tersusun bagi memastikan perintah Mahkamah Tinggi dapat dilaksanakan secara teratur.

Dalam masa sama, Brenndon berkata Sabah kekal bersedia untuk meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan secara konstruktif bagi mencapai persetujuan bersama selaras dengan peruntukan Perlembagaan.

Katanya, Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan turut menyediakan mekanisme sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.

“Peruntukan ini memperuntukkan pelantikan seorang penilai bebas yang syor-syornya adalah mengikat kerajaan-kerajaan yang terlibat dan perlu dilaksanakan seolah-olah ia merupakan persetujuan bersama,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa proses semakan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan tetap boleh diselesaikan secara teratur walaupun sekiranya persetujuan bersama tidak dapat dicapai.

Menurutnya lagi, memandangkan perbincangan masih berlangsung dan tempoh masa yang ditetapkan mahkamah semakin hampir, kedua-dua pihak perlu terus memberi tumpuan serta mempergiatkan usaha bagi memenuhi terma Perintah Mahkamah Tinggi tersebut.

“Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah akan terus mengambil langkah undang-undang yang sewajarnya bagi melindungi hak dan kepentingan negeri ini, di samping menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang serta semangat kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama