Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Azrul Ibrahim berkata, generasi muda melihat usaha mempertahankan hak Sabah bukan sekadar isu politik, tetapi juga soal keadilan dan penghormatan terhadap semangat Perlembagaan Persekutuan.
Beliau memuji kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang menunjukkan komitmen jelas dan konsisten dalam memastikan proses perundingan serta libat urus dengan kerajaan Persekutuan dijalankan secara profesional, telus dan berlandaskan prinsip undang-undang.
“Segala usaha untuk melambatkan pelaksanaan keputusan Mahkamah tidak akan membantu mempercepatkan penyelesaian isu ini.
"Yang diperlukan sekarang adalah komitmen bersama untuk mencapai penyelesaian adil, munasabah, dan menghormati hak Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrul turut menyeru semua pihak di Sabah bersatu padu kerana hak Sabah adalah hak rakyat negeri ini.
"Perjuangan mempertahankannya harus dilihat sebagai usaha bersama demi memastikan masa depan negeri terus terpelihara.
"Pemuda Gagasan Rakyat menegaskan akan terus berdiri teguh bersama Kerajaan Negeri dalam mempertahankan hak dan kepentingan Sabah," katanya.
Terdahulu, Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan negeri akan memfailkan bantahan terhadap permohonan kerajaan Persekutuan bagi menangguhkan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi berkaitan semakan dan penentuan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah.
