![]() |
Barisan duta MyNext UMS bersama TVET MARA Bintulu membawa nama Borneo Region muncul sebagai naib johan keseluruhan MyNext NPC 2025/2026. |
KOTA KINABALU: Tiga mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengharumkan nama Sabah apabila berjaya meraih empat pengiktirafan utama dalam program MyNext National Pulse Challenge (NPC) 2025/2026 yang dianjurkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad.
Kejayaan itu dicapai menerusi penyertaan dalam program MyNext Campus Ambassador 2025/2026 yang melibatkan seramai 76 duta mahasiswa daripada 25 institusi pengajian tinggi awam, swasta serta TVET MARA di seluruh negara.
Ketua Jabatan Graduate and Emerging Talent (GET) TalentCorp, Ardi Gunsuh berkata, pencapaian pasukan UMS mencerminkan aspirasi dalam melahirkan graduan yang berdaya saing serta bersedia menghadapi keperluan industri.
Menurutnya, program MyNext Campus Ambassador merupakan inisiatif nasional bagi memperkasa kebolehpasaran graduan memperluas akses kepada peluang kerjaya mereka.
“Ia juga menjadi platform kepada mahasiswa untuk membangunkan kepimpinan, memahami ekosistem kerjaya dan memperluas peluang latihan industri berstruktur,” katanya dalam satu kenyataan UMS, hari ini.
Hadir sama pada program berkenaan, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan TalentCorp, Nazrul Aziz.
Dalam Fasa 1 pertandingan, pasukan UMS mencatatkan 77 pendaftaran mahasiswa bagi MyNext End-Year Registration Challenge 2025/2026 sekali gus meraih tempat ketiga di peringkat kebangsaan.
Momentum kejayaan itu diteruskan dalam MyNext NPC Fasa 4 apabila pasukan UMS bersama TVET MARA Bintulu yang mewakili wilayah Borneo mencatatkan 333 pendaftaran dan muncul sebagai naib johan keseluruhan menerusi anugerah Best Region Award.
Nora Abiyana Gabra, wakil UMS mencipta pencapaian membanggakan di peringkat individu apabila pelajar Program Perniagaan Antarabangsa, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) ketika menerima anugerah Best Mentor Award.
Sementara itu, seorang lagi mahasiswa UMS, Mohd Asran Lataga dari Program Sains Data, Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), turut dinobatkan sebagai juara Ambassador All-Stars Award selepas mengatasi 75 duta mahasiswa lain dari seluruh negara.
Asran berkata kejayaan tersebut membuktikan bahawa mahasiswa Sabah mampu bersaing dan memimpin di peringkat nasional dalam agenda pembangunan bakat serta kebolehpasaran graduan.
“MyNext NPC bukan sekadar pertandingan, tetapi platform strategik untuk mengetengahkan kepentingan memperluas peluang latihan industri berbayar dan berstruktur, khususnya di Sabah,”katanya.
