Ringankan beban menjelang Aidilfitri, pelajar B40 terima sumbangan persekolahan – Mustapha

Milus Alu(dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar B40 bagi mewakili Mustapha Sakmud di SK Timbang, di sini. 


KOTA BELUD: Kegembiraan jelas terpancar di wajah pelajar keluarga kurang berkemampuan apabila menerima sumbangan persekolahan yang meringankan beban ibu bapa mereka menjelang sambutan Aidilfitri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud, berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian.

“Kerajaan MADANI terus mendukung golongan B40 menerusi pelaksanaan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Milus Alu @ Abd Wahad dalam Program Penyerahan Sumbangan Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Timbang, di sini, pada Sabtu.

Sumbangan yang disampaikan merangkumi beg sekolah, alat tulis serta bantuan tunai kepada pelajar.

Mustapha berkata, bantuan tersebut bukan sahaja membantu persiapan persekolahan anak-anak, malah memberi kelegaan kepada ibu bapa yang dalam masa sama membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Pendekatan ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan memastikan kebajikan rakyat terus terbela, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” ujarnya.

Program berkenaan dianjurkan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) dengan kerjasama Yayasan Dakwah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Kelab Pelajar Melayu Semalaysia.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama