Polis cari waris mayat lelaki tanpa identiti ditemui di Sungai Petagas

IHSAN: IPD KK

KOTA KINABALU: Polis memohon kerjasama orang awam bagi membantu mengesan waris seorang lelaki yang ditemui meninggal dunia di tepi Sungai Petagas berhampiran kawasan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Putatan, pagi tadi.

Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu memaklumkan mayat berkenaan ditemui seorang nelayan yang melalui kawasan tersebut sebelum memaklumkan kepada pihak polis pada Ahad lalu.

“Siasatan awal mendapati mayat tersebut dijumpai oleh seorang nelayan yang melalui kawasan berkenaan sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.

“Pemeriksaan awal oleh Unit Forensik tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau tanda-tanda perbuatan jenayah.

“Mayat telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, mana-mana ahli keluarga atau individu yang mengenali si mati diminta tampil segera bagi tujuan pengecaman dan pengurusan selanjutnya.

“Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. Kerjasama orang awam, amatlah dihargai,” jelasnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama