KOTA MARUDU: Kes kehilangan remaja perempuan terus membimbangkan apabila seorang gadis berusia 17 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di pekan Tandek, di sini, sejak Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 malam, 27 Mac lalu, remaja dikenali sebagai Christa Natalia Majaron itu keluar dari rumah tanpa memaklumkan kepada ahli keluarganya.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa pada jam 8.23 malam, semalam.
“Ahli keluarga sudah menjalankan usaha mencari, namun sehingga kini mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa berbadan kurus, berkulit cerah, mempunyai kening nipis serta berambut panjang hitam.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya tampil membantu siasatan.
“Orang ramai boleh menghubungi Sarjan Stephen Wan di talian 019-4695081 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Marudu di talian 088-662449.
“Maklumat juga boleh disalurkan di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
