Padah edar lebih 3kg syabu, penjaga stor berdepan hukuman mati


TAWAU: Padah mengedar lebih tiga kilogram (kg) syabu, seorang lelaki berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Hadriansyah Sabran, 42, yang bekerja sebagai penjaga stor, mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar 3,071.04 gram dadah berbahaya jenis methamphetamine di sebuah premis stor penyimpanan kenderaan di Jalan Sin Onn, kira-kira jam 7.30 malam pada 13 Mac lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta maksimum 12 sebatan, jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Jefry Kadisun yang tidak menawarkan jaminan dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 27 April ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

Media sebelum ini melaporkan, Polis Sabah pada 11 dan 13 Mac lalu berjaya menumpaskan rangkaian pengedaran dadah menerusi tiga operasi berasingan dengan rampasan keseluruhan lebih 53 kilogram (kg) syabu bernilai hampir RM2.65 juta.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dilaporkan berkata, kejayaan itu hasil operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTABKK) serta dua serbuan di Tawau.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama