PENAMPANG: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun berjaya diselamatkan selepas cubaan bunuh diri dengan mahu terjun dari tingkat lima Megalong Mall, Pekan Donggongon, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.19 petang sebelum jentera VIGO dengan enam anggota tiba di lokasi dalam tempoh tiga minit.
“Setibanya di tempat kejadian, kami mendapati seorang mangsa cuba untuk terjun dari tingkat lima.
"Pasukan kami segera memulakan usaha memujuk mangsa dan Alhamdulillah, mangsa berjaya dipujuk dan diserahkan kepada pihak polis dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi itu tamat sepenuhnya pada jam 6.00 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.
Zeno berkata, kerjasama erat antara bomba dan pihak polis memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan mangsa.
"Mangsa kini berada di bawah pemantauan pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.