Tertuduh, Herman Idris, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elsie Primus.
Mengikut pertuduhan, Herman yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) bagi kawasan DUN N.55 Elopura didakwa menggunakan jawatannya untuk mencadangkan saudara terdekatnya sebagai penerima bantuan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya bernilai RM70,000.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencadangkan Amir Ismail sebagai penerima bantuan berkenaan dalam Mesyuarat Focus Group Daerah Sandakan JKTD Bil.2/2022 yang berlangsung di Dewan Persidangan Libaran, Tingkat 1, Wisma Perbandaran, Majlis Perbandaran Sandakan pada 26 September 2022 kira-kira jam 2.30 petang.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama dengan mencadangkan Siti Nor Amira Amir sebagai penerima bantuan program sama dalam mesyuarat yang sama.
Kes itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala tertuduh diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon dari Tetuan Lincon & Co.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan deposit RM6,000.
Tertuduh turut diperintahkan melapor diri di pejabat SPRM Sandakan dua bulan sekali selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 1 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
