TAWAU: Gara-gara dipercayai mengalami ‘micro sleep’ ketika memandu, seorang lelaki merempuh motosikal dinaiki dua beradik sehingga menyebabkan seorang bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tawau maut dalam kemalangan di Jalan Merotai–Tawau, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa perempuan berusia 18 tahun yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disahkan meninggal dunia pada jam 4.08 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Tawau.
Adik lelaki mangsa berusia 17 tahun yang menunggang motosikal berkenaan pula mengalami kecederaan parah dan masih menerima rawatan di hospital.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis Honda C100 yang dinaiki dua beradik itu dengan sebuah kereta Proton Wira dipandu lelaki tempatan berusia 44 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari bandar Tawau menuju ke Felda Umas.
“Pada masa sama, motosikal yang ditunggang pelajar Kolej Vokasional berusia 17 tahun bersama kakaknya berumur 18 tahun sedang dalam perjalanan dari Kampung Manggaris, Merotai menuju ke bandar Tawau.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai tertidur ketika memandu lalu hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal dinaiki kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat perlanggaran itu kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut serta ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Bagaimanapun, pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia pada awal pagi tadi ketika menerima rawatan, manakala penunggang motosikal masih menerima rawatan di hospital.
“Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya, pemandu kereta terbabit sudah ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Jasmin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak meneruskan perjalanan sekiranya berada dalam keadaan mengantuk atau terlalu letih kerana ia boleh menyebabkan ‘micro sleep’ yang sangat berbahaya dan berisiko mengakibatkan kemalangan jalan raya.
