Remaja hilang di Pekan Tandek ditemui selamat

KOTA MARUDU: Tanda tanya kehilangan remaja perempuan sejak tiga hari lalu akhirnya terjawab apabila mangsa ditemui selamat di Kampung Tingkalanon, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Christa Natalia Majaron, 17, sebelum ini dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di pekan Tandek kira-kira jam 7.25 malam, 27 Mac lalu tanpa memaklumkan kepada ahli keluarga.

Kehilangannya itu mencetuskan kebimbangan keluarga selepas usaha mencari tidak berhasil sebelum laporan polis dibuat pada malam berikutnya.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun Lomudin berkata, mangsa ditemui kira-kira jam 11 pagi hasil maklumat orang awam dan tindakan pantas pihak polis.

“Remaja ini berjaya dikesan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.

“Susulan penemuan itu, ahli keluarga mangsa telah menarik semula laporan orang hilang pada jam 11.41 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Sayang Sabah melaporkan kehilangan remaja berkenaan yang keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga sebelum gagal dikesan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak polis bersama keluarga mangsa merakamkan penghargaan kepada orang awam yang membantu menyalurkan maklumat sehingga mangsa berjaya ditemui.

“Kerjasama orang ramai amat penting dalam membantu pihak berkuasa menyelesaikan kes seperti ini.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama