Penunggang motosikal maut dirempuh pikap ketika keluar simpang

TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kenderaan jenis pikap dalam kejadian di Jalan Airport Baru, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa lelaki berusia 29 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kemalangan membabitkan pikap Toyota Hilux dan motosikal Honda Wave Alpha.

Menurutnya, ketika kejadian, pikap berkenaan dipandu lelaki berusia 45 tahun dari arah Sin On menuju ke Lapangan Terbang Tawau.

“Setiba di lokasi, motosikal ditunggang mangsa dipercayai keluar dari simpang kiri sebelum memasuki laluan utama pikap berkenaan.

“Akibat jarak terlalu dekat, pemandu pikap gagal mengelak lalu merempuh motosikal di bahagian sisi kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan mangsa bersama motosikalnya tercampak ke laluan bertentangan sebelum terjatuh ke dalam longkang di bahu jalan.

Katanya, pemandu pikap tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian," katanya. 

Jasmin dalam masa sama menasihatkan pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal agar lebih berhati-hati dan memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum keluar ke laluan utama.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama