KINABATANGAN: Seorang lelaki berdepan detik ngeri apabila anaknya dibaham buaya ketika mereka menjalankan aktiviti menjala udang di sungai di Kampung Segaliud, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa, Mohd Rayyan Abdullah, 28, dilaporkan disambar reptilia berkenaan di hadapan bapanya sendiri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.22 malam sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Seramai empat anggota bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda (Vigo) dari BBP Kinabatangan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.
“Jentera tiba di lokasi pada jam 9.10 malam dan komander operasi melaporkan mangsa dipercayai dibaham buaya ketika menjalankan aktiviti menjala udang di sungai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, kejadian itu disaksikan sendiri oleh bapa mangsa yang berada berhampiran ketika insiden berlaku.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan bagi mengesan mangsa dengan memfokuskan kawasan sekitar lokasi kejadian.
“Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR akan diteruskan dengan mendapatkan maklumat lanjut di lokasi,” katanya.
