LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 32, Jalan Lahad Datu-Tungku, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis Dzulbaharin Ismail, berkata siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Lahad Datu menuju ke Tungku dipercayai hilang kawalan.
Katanya, motosikal itu kemudian memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan.
“Kenderaan berkenaan dipandu lelaki berusia 56 tahun bersama tiga penumpang iaitu lelaki berumur 43 dan 18 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.
“Bagaimanapun, pemandu dan semua penumpang kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Jafri Junat di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan berhemah ketika memandu bagi mengelakkan kemalangan.
Katanya, sepanjang bulan ini sahaja, empat kes kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal dilaporkan berlaku, kebanyakannya berpunca daripada kecuaian sendiri.
Beliau turut menyeru pihak berkaitan supaya mengambil tindakan segera membaiki keadaan jalan berlubang yang boleh mengundang risiko kemalangan.
