![]() |
| Naim (tengah) ketika bergambar kenangan bersama penerima sumbangan Jetama pada Majlis Berbuka di Shang Ri La, di sini, pada Jumaat. |
KOTA KINABALU: Projek solar terapung di Empangan Babagon kini mencapai kira-kira lima peratus kemajuan selepas dilancarkan bulan lalu dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Sdn Bhd, Datuk Ahmad Naim Uddang berkata kerja pembinaan masih sedang berjalan dengan pelaksanaan projek dilakukan secara serentak bersama projek solar di Sandakan bagi memastikan sasaran penyiapan dapat dicapai.
“Setakat ini kemajuan projek sekitar lima peratus memandangkan ia baru dilancarkan bulan lepas.
“Pembinaan sedang berjalan dan kita sasarkan ia dapat disiapkan dalam tempoh 12 bulan, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Jetama yang bertempat di Shang Ri-La Tanjung Aru, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengerusi Jetama, Datuk Faisyal Yusof Hamdain Diego.
Katanya, projek solar terapung di Babagon mempunyai kapasiti sebanyak 13 megawatt (MW), manakala projek di Sandakan pula berkapasiti 15MW, menjadikan jumlah keseluruhan kapasiti yang dibangunkan sebanyak 28MW.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui terdapat cabaran dalam pelaksanaan projek pembinaan, namun usaha sedang dilakukan bagi memastikan projek tersebut dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Mengulas mengenai kebimbangan terhadap potensi kenaikan harga bahan binaan susulan krisis global ketika ini, beliau berkata perkara itu tidak menjejaskan kos projek berkenaan kerana harga telah dikunci lebih awal pada peringkat perolehan.
“Dari segi harga bahan, kita sudah ‘lock’ pada peringkat perolehan (procurement) sebelum ini.
“Jadi bagi projek ini, kosnya masih terkawal walaupun ada kemungkinan kenaikan harga untuk projek baharu,” jelasnya.
Tambahnya lagi, kedudukan nilai ringgit yang kini menunjukkan pengukuhan juga dijangka membantu menstabilkan kos projek sepanjang tempoh pelaksanaannya.
