Konflik Asia Timur: Kerajaan aktifkan jawatankuasa khas bendung ketirisan, penyeludupan diesel

Armizan ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Rahmah di Sembulan, pada Sabtu.


KOTA KINABALU: Kerajaan mengaktifkan serta-merta Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) susulan peningkatan risiko penyelewengan barang kawalan, khususnya bahan api diesel dan petrol.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pengaktifan jawatankuasa itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu sebagai langkah memperkasa penguatkuasaan rentas agensi.

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertindak sebagai urus setia.

“Langkah ini diambil susulan peningkatan risiko ketirisan dan penyeludupan barang kawalan berikutan lonjakan harga minyak global akibat konflik di Asia Barat,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, peningkatan harga minyak dunia menyebabkan jurang harga antara harga runcit di Malaysia dan harga pasaran global semakin melebar, sekali gus membuka ruang kepada aktiviti penyelewengan.

Katanya, harga minyak Brent dunia meningkat kepada antara AS$90 hingga melebihi AS$100 setong berbanding sekitar AS$60 hingga AS$70 sebelum konflik tercetus.

Menurutnya, risiko ketirisan juga lebih tinggi di Sabah dan Sarawak kerana kedua-dua negeri masih menerima subsidi pukal diesel.

“Di Sabah dan Sarawak, harga diesel di pam ialah RM2.15 seliter berbanding RM3.92 seliter di Semenanjung Malaysia, manakala harga pasaran semasa Automatic Pricing Mechanism (APM) mencecah RM4.30 seliter.

“Ini bermakna pengguna di Sabah dan Sarawak membeli diesel pada harga kurang separuh daripada kos sebenar,” katanya.

Armizan berkata, jika penyelewengan dan penyeludupan tidak dibanteras, implikasi kewangan kerajaan akan meningkat dengan ketara.

"Pada tahun 2025, subsidi pukal diesel yang ditanggung kerajaan bagi Sabah dan Sarawak mencecah RM2 bilion iaitu RM924 juta bagi Sabah dan RM1.08 bilion bagi Sarawak.

“Berdasarkan kadar penggunaan yang sama dan harga pasaran semasa, tanggungan subsidi kerajaan di kedua-dua negeri dijangka meningkat kepada RM4.6 bilion bagi tahun 2026,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan dipertingkatkan di kawasan sempadan dan lokasi panas di seluruh negara dengan fokus utama di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

“Di bawah Akta 122, pesalah boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya bagi individu, selain hukuman penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” katanya.

Armizan berkata, di bawah Akta 613 pula, pesalah boleh dipenjara sehingga 15 tahun serta didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama