TAWAU: Isu tular membabitkan tindakan memijak al-Quran di media sosial baru-baru ini menimbulkan rasa dukacita dalam kalangan umat Islam serta tidak wajar berlaku dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perbuatan menghina atau memperlekehkan mana-mana agama tidak wajar berlaku dalam sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan.
Menurutnya, setiap individu perlu menghormati pegangan agama masing-masing bagi memastikan keamanan dan perpaduan yang dinikmati selama ini terus terpelihara.
“Perbuatan seperti memijak al-Quran ini adalah sesuatu yang tidak boleh kita terima sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam suasana saling menghormati kepelbagaian kaum dan agama.
“Kita berharap perkara seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang kerana keharmonian negara perlu dipelihara oleh semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Khatam al-Quran di Masjid Al-Munawwarah, Batu 2, Jalan Apas, di sini, pada jumaat.
Nizam berkata rakyat di negara ini perlu terus memupuk sikap saling menghormati serta menghargai perbezaan yang wujud dalam masyarakat.
Katanya, walaupun Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, kepelbagaian itu sebenarnya menjadi kekuatan untuk membina masyarakat yang bersatu padu.
“Perbezaan yang kita miliki seharusnya menjadi asas untuk kita saling memahami dan menghormati antara satu sama lain, bukannya menimbulkan perkara yang boleh menjejaskan perpaduan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif Jawatankuasa Masjid Al-Munawwarah yang menganjurkan Majlis Khatam al-Quran sempena Ramadan.
Menurutnya, program seperti itu bukan sahaja dapat meningkatkan kecintaan umat Islam terhadap al-Quran, malah mampu mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
“Program seperti ini amat baik kerana ia menyemai kecintaan terhadap al-Quran selain mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan silaturahim dalam kalangan penduduk.
“Malah, ia juga boleh menjadi tarikan kepada generasi muda untuk lebih mendekati, mempelajari serta memahami pengisian al-Quran,” katanya.

