KOTA KINABALU: Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) menyasarkan agihan bantuan RM2 juta sepanjang tahun ini bagi menyokong institusi pendidikan agama serta membantu komuniti yang memerlukan.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih berkata setakat Mac tahun ini, lebih RM491,000 diagihkan kepada pelbagai penerima termasuk institusi tahfiz dan madrasah di sekitar Kota Kinabalu.
“Sesuai dengan pendapatan hasil yang ada, di samping itu, kita juga melihat kemungkinan adanya bantuan tambahan daripada kerajaan dan perkara itu akan dibincangkan untuk dipertimbangkan.
“Alhamdulillah, malam ini saya berkesempatan menyaksikan penyampaian sumbangan daripada Baitulmal kepada beberapa pusat tahfiz dan madrasah serta sekolah-sekolah agama di sekitar Kota Kinabalu.
“Sumbangan ini diharap dapat membantu institusi pendidikan agama dalam meneruskan usaha mendidik generasi muda,”jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Ramadan dan Tautan Ukhwah di Shang Ri La Tanjung Aru, di sini pada Selasa.
Beliau menjelaskan, bantuan berkenaan merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Baitulmal yang turut disalurkan kepada badan-badan dakwah.
“Banyak lagi bentuk sumbangan yang diberikan oleh Baitulmal termasuk bantuan kepada mangsa banjir serta komuniti di kampung-kampung terpencil,” tambahnya.
Secara keseluruhan Baitulmal telah memperuntukkan sebanyak RM1.755 juta pada tahun 2025 untuk tujuan agihan bantuan kepada pihak yang layak.
