Polis gempur lumba lari haram, seorang ditahan miliki dadah di Keningau

KENINGAU: Polis menggempur aktiviti lumba lari haram yang dipercayai dianjurkan di atas jalan raya awam di kawasan Bandar Baru Bataras menerusi Op Bersepadu yang dijalankan lewat malam Sabtu hingga awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, operasi bermula jam 11.30 malam hingga 3 pagi itu dilaksanakan susulan maklumat awam serta risikan berkaitan penganjuran aktiviti berkenaan tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Menurutnya, seramai 36 pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Siasatan Jenayah Narkotik, Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Cawangan Khas serta KDNKA terlibat dalam operasi tersebut.

“Semasa operasi dijalankan, didapati acara berkenaan dihadiri sejumlah remaja dan belia.

“Hasil pemeriksaan menemukan bahan disyaki dadah jenis methamphetamine serta minuman disyaki air ketum,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, seorang lelaki ditahan di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Selain itu, katanya, 10 lelaki turut ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bahagian Trafik turut mengeluarkan 25 saman atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi dijalankan.

“Secara keseluruhan, 130 individu dan 105 kenderaan telah diperiksa,” katanya. 

Yampil menjelaskan, tindakan penguatkuasaan itu bukan bertujuan menghalang aktiviti sukan, sebaliknya bagi memastikan sebarang program dianjurkan secara sah, terancang dan mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Menurutnya, dalam kes berkenaan, aktiviti dijalankan di atas jalan raya awam tanpa kebenaran selain dipercayai melibatkan unsur pertaruhan wang dan penyalahgunaan bahan terlarang.

“Jalan raya awam merupakan kemudahan yang digunakan semua pengguna.

"Sebarang aktiviti yang mengganggu aliran trafik atau mendedahkan orang ramai kepada risiko keselamatan adalah satu pelanggaran undang-undang dan perlu diambil tindakan,” katanya.

Katanya, operasi itu juga bertujuan mencegah risiko kemalangan, penyalahgunaan dadah serta pembudayaan aktiviti tidak sihat dalam kalangan remaja.

IPD Keningau, katanya, komited melaksanakan tugas secara profesional, berhemah dan tanpa pilih kasih demi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama