SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan penyeludupan 1,870 paket minyak masak bersubsidi menerusi penahanan dua bot dalam operasi di perairan Kampung Bokara Lama, awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, kejadian kira-kira jam 2 pagi itu berlaku ketika bot peronda Maritim Malaysia menjalankan rondaan rutin di kawasan berkenaan.
Menurutnya, anggota penguat kuasa mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri untuk tujuan pemeriksaan lanjut.
“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, beberapa individu yang berada di lokasi bertindak melarikan diri ke kawasan berhampiran dan meninggalkan kedua-dua bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 1,870 paket minyak masak dipercayai cuba diseludup keluar tanpa kebenaran.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan penyeludupan barang kawalan tanpa permit yang sah,” katanya.
Katanya, kedua-dua bot bersama enjin serta barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.
“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot dan minyak masak dianggarkan bernilai lebih RM50,000,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan di perairan negara.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim diminta menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 untuk tindakan segera," katanya
