Mayat lelaki ditemui terapung di Sungai Kalansanan

KOTA KINABALU: Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan terapung di tepi Sungai Kalansanan, Kampung Kalansanan, Inanam, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.27 pagi itu, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerima panggilan daripada kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang memaklumkan penemuan mayat berkenaan berhampiran jalan pintas ke Ujana Kingfisher.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, sejurus menerima maklumat, sepasukan polis yang berada berhampiran terus digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati mayat seorang lelaki berada kira-kira 30 meter dari jalan utama di tepi Sungai Kalansanan.

“Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu bersama Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah turut menjalankan siasatan di lokasi. 

"Hasil pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau tanda-tanda perbuatan jenayah pada tubuh mangsa, katanya dalam kenyataan media hari ini. 

Beliau berkata, identiti lelaki terbabit dikenal pasti sebagai warga tempatan berusia 34 tahun dan setakat ini tiada unsur jenayah dikesan di tempat kejadian.

“Mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian secara rasmi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan lanjut," katanya


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama