Subsidi diesel Sabah, Sarawak dan Labuan akan disasar secara berperingkat — Armizan

KOTA KINABALU: Dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak berlaku adil dalam pelaksanaan subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan disifatkan sebagai tidak tepat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan tidak pernah berpendirian untuk mengecualikan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di ketiga-tiga wilayah berkenaan, sebaliknya ia akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Subsidi diesel akan terus diberikan, namun melalui mekanisme yang lebih tersusun bagi mengurangkan ketirisan termasuk penyelewengan dan penyeludupan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan dasar itu memerlukan penelitian rapi memandangkan ia merupakan satu pembaharuan besar dalam sistem subsidi negara.

“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia pada 2024, diikuti penyasaran subsidi petrol RON95 di seluruh negara pada 2025, yang menurutnya berjalan lancar dan akan terus diperkemas,” jelasnya. 

Mengulas lanjut, Armizan berkata Kementerian Kewangan Malaysia kini sedang meneliti kerangka cadangan bagi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Katanya, cadangan tersebut akan diperhalusi sebelum dibincangkan bersama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi memastikan mekanisme yang dilaksanakan mengambil kira keunikan setempat.

“Antara faktor yang dipertimbangkan termasuk kebergantungan tinggi penduduk kepada diesel, keadaan geografi serta jurang harga barangan keperluan asas yang ketara berbanding Semenanjung Malaysia,” ujarnya. 

Tambah beliau, kos logistik yang tinggi khususnya melibatkan pengangkutan laut turut menyumbang kepada perbezaan harga barangan di wilayah berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa subsidi diesel masih disalurkan di Semenanjung Malaysia secara bersasar melalui pelbagai inisiatif seperti BUDI MADANI dan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), khususnya kepada sektor pengangkutan dan kumpulan sasar tertentu.

Justeru, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan akan dipertimbangkan sebagai fasa seterusnya selepas kejayaan pelaksanaan sebelum ini, dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama