5,000 pengunjung saksikan Istiadat Perbarisan Sempena Ulang Tahun ke-75 TYT hari ini

Tun Musa Aman, ketika membuat pemeriksaan kepada lebih 60 kontinjen dari lapan kategori, di sini. 

KOTA KINABALU: Kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung membanjiri padang merdeka dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, hari ini. 


Seawal jam 6.00 pagi, Padang Merdeka mula dipenuhi peserta dan para petugas yang bersiap sedia bagi menjayakan Istiadat Perbarisan sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah.


Majlis penuh tertib itu dimulakan dengan perbarisan masuk lebih 60 kontinjen dari lapan kategori serta ketibaan para dif kehormat yang mengambil tempat di zon utama.


Menjelang sekitar jam 7.10 pagi, acara rasmi dimulakan dengan perbarisan kawalan kehormatan utama yang diketuai oleh Kapten Hadi Harris Adnan dengan kekuatan anggota seramai tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat. 


Tumpuan utama terarah kepada ketibaan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin yang disambut penuh istiadat.


Hadir sama pada majlis berkenaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersama isteri, Datin Juliah Salag dan Datuk Bandaraya Kota Kinabalu(DBKK), Datuk Sabin Samitah. 


Ihsan: SABAH MEDIA


Acara disambung dengan pemeriksaan kawalan kehormatan daripada Tun diiringi alunan pancaragam gabungan Polis Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.


Suasana kemudian memuncak dengan dentuman 17 das tembakan meriam, diikuti upacara menaikkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah yang berlangsung penuh simbolik. 


Antara peserta perbarisan kategori sekolah menengah memasuki padang merdeka. 


Sebaik selesai segmen istiadat, pemeriksaan dimulakan melibatkan lebih 60 kontinjen daripada lapan kategori, merangkumi sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan etnik Sabah, badan berkanun dan swasta serta jabatan kerajaan berpakaian dan tidak berpakaian seragam rasmi.


Acara pemeriksaan kontinjen berkenaan, Tun telah diiringi oleh Panglima lima Divisyen, Mejar Jeneral Shamsor Jaafar. 


Memasuki segmen kedua sekitar jam 8.30 pagi, suasana bertukar lebih santai namun tetap berprotokol dengan acara sambutan termasuk persembahan khas yang menggabungkan elemen tradisional dan kontemporari oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah. 


Acara kemuncak diteruskan dengan upacara simbolik pemotongan kek ulang tahun Yang Di Pertua Tun, diiringi nyanyian lagu oleh kumpulan koir DBKK yang diketuai oleh Jefrey Saleh.


Istiadat berakhir dengan keberangkatan pulang Yang di-Pertua Negeri Tun bersama isteri sekitar jam 9.00 pagi, menutup tirai sambutan yang bukan sahaja sarat dengan adat istiadat, tetapi turut menonjolkan semangat perpaduan rakyat Sabah daripada pelbagai lapisan masyarakat.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama