KOTA KINABALU: Wisma Harta Sdn
Bhd mencatatkan keuntungan tertinggi sejak 39 tahun penubuhannya dengan merekod
pendapatan RM3.4 juta pada tahun lalu yang membolehkan syarikat itu membayar
dividen RM600,000 kepada Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS).
Pembantu Menteri kepada Ketua
Menteri, Isnin Aliasnih berkata pencapaian itu membuktikan prestasi kewangan
syarikat yang kukuh serta pengurusan yang telus sehingga membolehkan pembayaran
dividen yang sebelum ini tertangguh dilunaskan.
“Tahun lalu Wisma Harta
memperoleh pendapatan kira-kira RM3.4 juta dan berjaya membayar dividen
sebanyak RM600,000 kepada MUIS selain menunaikan zakat perniagaan.
“Ia menunjukkan ketelusan dalam
pentadbiran dan pengurusan syarikat sehingga mampu meningkatkan pendapatan
serta menyumbang kepada hasil kerajaan negeri,” katanya selepas Majlis Berbuka
Puasa Warga Wisma Harta Sdn Bhd, pada Isnin.
Dalam majlis itu, Wisma Harta
turut menyerahkan dividen tahun 2025 berjumlah RM5 juta, zakat perniagaan
RM25,000 dan wakaf tunai RM5,000 kepada MUIS yang disaksikan oleh Isnin.
Beliau turut menggesa syarikat
berkaitan kerajaan (GLC) lain mencontohi langkah Wisma Harta dengan menunaikan
zakat perniagaan bagi memperoleh keberkatan serta membantu meningkatkan hasil
kerajaan negeri.
“Dengan membayar zakat, kita
bukan sahaja memperoleh keberkatan daripada Allah SWT, malah turut menyumbang
kepada peningkatan pendapatan kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga
Pengarah Wisma Harta Sdn Bhd, Datuk Ramlan Awang Ali berkata prestasi kewangan
syarikat menunjukkan peningkatan ketara apabila merekodkan pendapatan tertinggi
pada 2025 berbanding RM2.4 juta pada tahun sebelumnya iaitu peningkatan
kira-kira 70 peratus.
Beliau yang juga Setiausaha MUIS
berkata pihaknya optimis Wisma Harta mampu membuat pembayaran RM1 juta kepada
MUIS bagi tahun kewangan 2026 selain mencatatkan prestasi kewangan lebih baik.
