KOTA KINABALU: Semua jemaah umrah dari Sabah yang mengikuti pakej di bawah syarikat Raudhah Borneo Travel & Services Sdn Bhd (RBTS) disahkan berada dalam keadaan sihat dan selamat susulan perkembangan konflik di Asia Timur yang memberi kesan kepada jadual penerbangan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Salleh Mohamed berkata, pihak pengurusan sentiasa memantau situasi dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah sepanjang berada di Tanah Suci sehingga selamat kembali ke tanah air.
Menurutnya, syarikat penerbangan Scoot telah membatalkan dan menangguhkan penerbangan balik jemaah yang dijadualkan sebelum ini.
“Bagaimanapun, pihak pengurusan RBTS telah mengambil inisiatif segera dengan mengenal pasti syarikat penerbangan alternatif serta membeli tiket penerbangan baharu bagi memastikan jemaah yang terjejas dapat kembali ke Kota Kinabalu mengikut tarikh asal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat terkini, jemaah akan berlepas dari Jeddah ke Kuala Lumpur menaiki penerbangan Saudia pada 5 Mac 2026 jam 10.55 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 Mac 2026 jam 12.35 tengah malam.
Seterusnya, jemaah akan meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu menaiki penerbangan Malaysia Airlines pada 6 Mac 2026 jam 8.25 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 11.10 pagi hari sama.
Salleh berkata, pihaknya memandang serius situasi berkenaan dan mengambil tanggungjawab penuh terhadap keselamatan serta kebajikan setiap jemaah yang terlibat.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan.
“Kami memohon doa semua pihak agar segala urusan kumpulan jemaah umrah Ramadan 1447 Hijrah ini dipermudahkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
