Blok Borneo bukan mahu kuasa, tapi imbang Persekutuan

KOTA KINABALU: Kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berhubung dakwaan Sabah dan Sarawak mahu memperkukuh kawalan politik menerusi cadangan Blok Borneo disifatkan sebagai tafsiran yang tidak tepat serta terkeluar daripada konteks sejarah pembentukan Malaysia.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pembentukan Blok Borneo bukan bertujuan mendominasi Semenanjung, sebaliknya memperkukuh keselarasan suara Sabah dan Sarawak dalam memperjuangkan kepentingan rakyat di Parlimen.

Menurutnya, dalam sistem Persekutuan yang matang, kerjasama antara wilayah bagi mengukuhkan kedudukan rundingan adalah amalan biasa dan tidak wajar dilihat secara negatif.

“Cadangan ini perlu difahami dalam semangat pembentukan Malaysia pada 1963 yang berasaskan prinsip perkongsian antara wilayah.

“Walaupun Sabah dan Sarawak ketika itu berada di bawah pentadbiran British, penyertaan dalam Malaysia dibuat melalui rundingan jelas dengan jaminan perlindungan tertentu,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Beliau berkata, jaminan itu termasuk aspek autonomi pentadbiran, identiti tempatan serta kepentingan rakyat yang dimaktubkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, isu kuasa imigresen, hasil petroleum dan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan bukanlah keistimewaan berlebihan, sebaliknya sebahagian komitmen asal yang dipersetujui ketika pembentukan negara.

“Usaha berterusan menuntut pelaksanaan perkara ini adalah selaras dengan semangat Persekutuan yang adil dan seimbang,” katanya.

Mengulas cadangan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak, beliau berkata, ia perlu dilihat dari sudut representasi lebih saksama mengambil kira keluasan wilayah, kepelbagaian geografi serta keperluan pembangunan berbeza di kedua-dua negeri.

Menurutnya, pembentukan Blok Borneo mencerminkan kematangan politik Sabah dan Sarawak dalam kerangka Persekutuan Malaysia, selain memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua wilayah.

“Malaysia dibina atas semangat kerjasama, bukan persaingan antara Semenanjung dan Borneo.

“Sebarang usaha memperkukuh keseimbangan dalam Persekutuan harus dilihat sebagai langkah memperkuatkan negara secara keseluruhan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama