Enam ‘hero’ Pangi terima motosikal baharu daripada kerajaan negeri

TENOM: Enam anak muda di Kampung Pangi yang bertindak pantas meletakkan motosikal troli di landasan bagi memperlahankan sebuah kereta api yang mengalami kegagalan brek, menerima pembelaan apabila kerajaan negeri bersetuju menyumbangkan motosikal baharu kepada mereka.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, sumbangan itu dipersetujui oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor selepas dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, beliau telah dihubungi oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim yang memaklumkan persetujuan Ketua Menteri untuk menggantikan keenam-enam motosikal yang musnah atau rosak dalam insiden tersebut.

“Saya mewakili enam anak muda terbabit merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan serta sumbangan yang amat bermakna ini.

“Tindakan berani dan pantas mereka kemungkinan besar telah mengelakkan berlakunya bencana yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, sebuah kereta api yang membawa guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi berdepan detik cemas apabila dilaporkan mengalami masalah brek tidak berfungsi dalam kejadian awal pagi semalam.

Mengulas lanjut, Jamawi berkata, walaupun pelbagai versi cerita timbul berhubung insiden itu, hakikatnya kedudukan enam motosikal troli yang diletakkan di atas landasan berjaya memperlahankan pergerakan kereta api berkenaan.

“Jika tiada tindakan berani itu, kemungkinan berlaku insiden lebih buruk kerana kelajuan kereta api tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh pemandu.

“Kita juga merakamkan penghargaan kepada pemandu kereta api yang tenang dan tidak panik dalam mengawal situasi sehingga keadaan berjaya distabilkan,” katanya. 

Beliau turut menyifatkan enam pemilik motosikal troli terbabit serta pemandu kereta api sebagai ‘unsung hero’ yang wajar diberi pengiktirafan atas keberanian dan ketenangan mereka.

Dalam pada itu, Jamawi turut menitipkan kata-kata semangat kepada guru-guru SK Pangi agar terus cekal mendidik anak bangsa walaupun berdepan cabaran di kawasan pedalaman.

“Saya bangga dengan komitmen dan pengorbanan para guru yang sanggup meredah pelbagai cabaran demi memastikan anak-anak di pedalaman mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama