Penyalahgunaan AI tiru suara penyanyi membimbangkan, jejaskan hak cipta - James Ratib

KOTA KINABALU: Penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menjana semula suara penyanyi dan mengolah karya lagu tanpa kebenaran kini dilihat semakin membimbangkan kerana memberi kesan kepada industri seni tempatan.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, James Ratib, menegaskan aktiviti tidak bertanggungjawab itu perlu dihentikan kerana menjejaskan hak cipta serta kepentingan pengkarya dan penyanyi asal.

Menurutnya, karya seni dan muzik tempatan wajar dihormati serta dilindungi bagi memastikan kelangsungan industri kreatif di negara ini.

“Menghormati hak cipta dan hasil karya asal adalah penting bagi memastikan industri seni tempatan terus berkembang dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem kreatif negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini, pada Khamis.

Sementara itu, Pegawai Khas (Seni dan Kreatif) kepada kementerian berkenaan, Jimmy Palikat, sebelum ini turut menyeru agar pihak kerajaan melalui Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) mengambil langkah lebih proaktif bagi memantau serta mengekang penyalahgunaan teknologi tersebut.

Katanya, tindakan segera perlu bagi memastikan ruang digital tidak disalahgunakan oleh pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan melalui teknologi AI.

Isu berkenaan timbul susulan peningkatan kandungan digital yang menggunakan teknologi AI untuk meniru suara artis serta menghasilkan semula lagu tanpa kebenaran.

“Perkara itu menimbulkan kebimbangan terhadap perlindungan hak cipta dan integriti karya asal,” jelasnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama